Khamis, 18 Februari 2016

Cerita kanak-kanak : POPOY ANAK YANG DEGIL

Sebenarnya ini adalah assignment Bahasa Melayu Pengurusan semester pertama. Kami kena suruh buat cerita untuk kanak-kanak berumur 7 hingga 12 tahun. Mari baca cerita nie.

Sinopsis

            Popoy adalah anak yang degil dan tidak mahu mendengar teguran serta larangan. Suatu hari Popoy dan ayahnya telah ditimpa bencana disebabkan kedegilan Popoy. Apakah nasib Popoy dan ayahnya? Ketahui kesudahannya dalam cerita Popoy anak yang degil.

Di sebuah taman permainan kanak-kanak, tinggallah sekeluarga semut anai-anai. Jojo si bapa semut sangat rajin bekerja, memetik hasil hutan dan menebang pokok untuk dijadikan kayu api. Mimi isteri Jojo adalah seorang ibu yang sangat rajin membuat kerja-kerja rumah seperti memasak, mengemas dan mencuci kain. Jojo dan Mimi mempunyai seorang anak yang sangat comel bernama Popoy. Mereka hidup dalam suasana yang ceria dan bahagia.
Popoy adalah anak yang sangat ringan tulang. Dia suka membantu ayah dan ibunya. Popoy juga bukan anak yang cerewet. Jojo dan Mimi sangat sayang kepadanya. Tapi Popoy juga mempunyai sikap buruk. Popoy seringkali tidak mempedulikan larangan dan pesan Jojo dan Mimi. Popoy anak yang degil.
Pada suatu pagi, Jojo ingin pergi ke hutan mencari tanah liat untuk membaiki kerosakan rumah mereka. Popoy mahu ikut dan dia meminta kebenaran kepada ayahnya.
“ Ayah! Popoy mahu ikut boleh?” Tanya Popoy.
“ Popoy, kamu memang anak yang baik dan rajin tapi ayah tidak dapat membenarkan kamu ikut bersama ayah kerana perjalanan ayah amat bahaya dan memenatkan,” pujuk Jojo.
“ Popoy sangat kuat ayah! Popoy tidak akan penat.” Balas Popoy sambil menunjukkan otot lengannya.
“Kamu sungguh bersemangat! Ayah sukakannya. Tapi kamu harus tahu anakku, mungkin dalam perjalanan untuk mencari tanah nanti kita akan berjumpa tenggiling dan itu amat membahayakan kita berdua” Ujar Jojo. Bersungguh-sungguh memujuk Popoy.
Tanpa mempedulikan Popoy, Jojo terus mengemas barang-barang dan keperluan seperti makanan yang akan dibawanya bersama.
“Tenggiling ? Tenggiling tu apa ayah?” Tanya Popoy kehairanan sambil mengusap-usap dagunya.
“Oh, ia adalah bola batu besar yang suka memakan semut anai-anai seperi kita” Jelas Jojo sambil menunjukkan bulatan dengan kedua tangannya.
“Bola batu dan memakan kita ?” Popoy semakin kehairanan.
“Popoy tidak percaya ayah. Popoy tetap akan ikut bersama ayah” Tambahnya lagi.
Popoy tidak mempedulikan larangan ayahnya. Popoy pasti bahawa mesti ada sesuatu yang sangat menyeronokkan hingga ayahnya tidak membenarkannya ikut serta kerana pada kebiasaannya Jojo tidak akan melarangnya.
Jojo akan menyuruh Popoy untuk duduk diam di bawah sepohon pokok rendang setiap kali dia membawa anak kesayangannya itu pergi memungut hasil-hasil hutan seperti memetik daun-daun segar. Tatapi Popoy tetap dengan kenakalannya sehingga kadang kala dia terjatuh dan tercedera. Itulah sikap Popoy yang nakal.
Setelah Jojo selesai berkemas, dia berehat sambil menunggu hidangan makanan tengah hari yang sedang disiapkan oleh isterinya.
“Makanan sudah siap! Lauk kegemaran Popoy dan abang sudah siap!” Suara lembut Mimi dari dapur memanggil suami dan anaknya.
‘Baik!” Sahut Jojo.
Jojo dan Mimi duduk di kerusi. Jojo berdoa dan makan hingga kenyang. Popoy tidak makan bersama mereka dan mereka sudah biasa dengan perngai Popoy yang sering lambat untuk makan bersama.
Disebabkan Jojo akan memulakan perjalanannya sesegera yang mungkin, mereka terlupa untuk menunggu Popoy. Sambil mereka menikmati hidangan masakan Mimi, Popoy pula sedang sibuk mengemas barang-barang untuk dibawa bersama ketika mencari tanah liat.
“Saya perlu bawa ini. Saya boleh bermain sambil menunggu ayah mengutip tanah” Bisik hati Popoy sambil menyumbat masuk anak patung adiwira kegemarnnya ke dalam beg galasnya.
Tanpa disedari ibu dan ayahnya, Popoy telah keluar dari rumah secara senyap-senyap dan dia telah menunggu ayahnya di bawah pohon rendang tempat selalu dia berteduh.
Selepas Jojo selesai makan, dengan tidak membuang masa dia pun memulakan perjalanan agar kepergiannya tidak disedari oleh anak kesayangannya itu. Setelah agak jauh dia berjalan, Jojo menoleh kebelakang kelihatan rumah mereka telah jauh ditinggalkan. Jojo mula merasa sayu kerana meninggalkan keluarganya yang tersayang.
Semasa menunggu Jojo melalui jalan yang dilaluinya, Popoy telah tertidur dengan sangat nenyak dibelakang pokok yang rendang itu sehingga dia tidak menyedari ayahnya telah lalu dan semakin jauh meninggalkannya.
Popoy yang lena sambil memeluk anak patung, akhirnya terjaga dan bingkas bangun lalu mengintai-intai kelibat ayahnya yang masih belum kelihatan.
“Sudah lama begini mengapa ayah belum masih belum melalui jalan ini?” Katanya kepada diri sendiri.
“Mungkin ayah sudah lalu samasa saya tidur tadi. Saya mesti mengejarnya sebelum bola batu memakan saya” Tambah Popoy.
Popoy meneruskan perjalanannya sambil menjulang-julang anak patung adiwiranya ke udara. Sedang Popoy berjalan sambil menyanyi-nyanyi kecil, Popoy terdengar bunyi seperti dengusan nafas. Dia tidak pernah mendengar hembusan angin sekencang itu. Sangat asing dan Popoy mula merasa cemas. Anak patungnya terlepas dari genggaman dan Popoy cuba mencari tempat untuk berlindung.
Jojo yang kini sedang berada di atas pokok yang agak tinggi untuk meninjau hala tujunya tersentak apabila melihat pergerakan pokok-pokok yang sangat kuat. Jojo terlihat kelibat ‘Bola Batu’ yang besar seperti yang dikatakannya kepada Popoy.
Jojo diselubungi ketakutan dan bimbang sesuatu akan terjadi ke atas dirinya. Bola batu itu semakin menghampiri pokok tempatnya berdiri dan semakin menutupi sinar matahari. Jojo sangat terperanjat apabila dia melihat anak patung Popoy tersangkut di celah-celah sisik Tenggiling itu. Jojo kini sangat cemas dan ketakutan.
“Mimi dan Popoy. Adakah mereka selamat?” Tanya Jojo sendiri.
Tenggiling itu membulatkan dirinya dan membiarkan sisik-sisiknya terbuka. Jojo melihat situasi itu dengan sangat takut. Jojo yang dalam kebingungan memikirkan nasib isteri dan anaknya kini bertambah buntu apabila dia mendengar suara tangisan. Suara tangisan itu seakan-akan suara anak kesayangannya. Apakah anaknya terperangkap dalam sisik-sisik tenggiling itu atau sebaliknya.
Mata Jojo liar mencari kelibat Popoy dan berusaha menjejak dari mana datangnya suara itu.
“Ayah!!” Jerit Popoy.
Jojo dan Popoy berlari dan saling cuba menggapai antara satu sama lain. Tenggiling besar yang berada di belakang Popoy memandang tepat ke arah belakang Popoy dengan mata yang sangat luas. Jojo berlari sekuat hati kerana tenggiling itu sedang menghayun langkahnya yang besar itu menuju ke arah Popoy.
Kini Popoy dalam pelukan Jojo yang sedang berlari menyelamatkan diri.
“Bagaimana keadaan ibu kamu?” Tanya Jojo sambil berlari.
“Saya juga tidak tahu ayah. Saya cuba mengekori ayah sejak tadi” jawab Popoy.
Jojo cuba menahan diri dari bertanya sehinggalah mereka yakin keadaan betul-betul telah selamat. Jojo berhenti di celah pokok yang telah tumbang. Di sana Jojo bertanya dan Popoy pula menceritakan keadaan sebenar.
Setelah mendengar penjelasan Popoy, mereka bergegas untuk pulang ke rumah. Setelah tiba di rumah, Jojo dan Popoy mengetuk pintu dan disapa oleh Mimi. Jojo dan Popoy memeluknya dengan rasa syukur.
“Apa yang telah berlaku ?” Tanya Mimi kehairanan kepada suami dan anak tunggal mereka. Jojo telah menceritakan keadaan sebenar dan Popoy juga meluahkan rasa kesalnya kerana tidak mahu mendengar nasihat dan larangan ayahnya agar tidak ikut serta mencari tanah untuk membaiki rumah mereka.
Sekali lagi mereka tiga beranak berpelukan dan masing-masing mengambil iktibar dari kejadian yang berlaku.


·         Pengajaran dalam cerita ini ialah, kita haruslah mendengar nasihat dan teguran orang tua. Sikap degil akan menyusahkan diri sendiri. Selain itu, kita juga mestilah rajin dan suka membantu ibu bapa. Sikap ini menggambarkan kita seorang yang mempunyai sikap yang terpuji.

·         Ringan tulang dalam cerita ini bermaksud rajin.


Ada kawan tu siap masukkan gambar kartun lagi. Hebat kerja.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Macam mana post kali ini?

Apakah maksud takaful ?