Rabu, 27 Disember 2017

KEUSAHAWANAN BELIA


1.           PENGENALAN

Penglibatan belia dalam agenda pembanguan ekonomi negara seharusnya tidak boleh diketepikan atau dinafikan oleh mana-mana pihak. Selain itu, golongan belia juga merupakan barisan pelapis pemimpin masa hadapan, oleh itu kerajaan telah mengambil beberapa langkah proaktif bagi tujuan membekalkan belia denganpelbagai cabang ilmu pengetahuan dan peluang-peluang keusahawanan. 45 peratus daripada rakyat Malaysia merupakan golongan belia yang berumur 15 hingga 40 tahun. Peratusan yang besar ini jika tidak dimanfaatkan sebaiknya ianya akan merugikan negara.
Ekonomi merujuk kepada sesuatu proses pembangunan yang amat penting dalam menjana keuntungan sesebuah negara. Belia memainkan peranan yang besar dalam ekonomi dunia dan sesebuah negara melalui peranannya yang produktif dan reproduktif. Penglibatan golongan belia dalam ekonomi telah meningkat terhadap keperluan ekonomi negara malahan sumbangan golongan belia dari pelbagai aspek kehidupan seperti ekonomi dan pembangunan terutamanya di negara-negara dunia yang begitu dominan.
Keusahawanan pula ialah suatu proses pewujudan dan pengembangan perniagaan secara perterusan yang menyumbang kepada proses pembangunan ekonomi negara. Oleh itu, keusahawanan belia adalah penglibatan belia atau tenaga muda dalam proses pembangunan ekonomi negara.

2.           KEUSAHAWANAN BELIA

            Pada tahun 1985, Dasar Pembanguan Belia Negara telah digubal dan dikaji semula pada tahun 1997 yang mana ianya sangat menitikberatkan kemajuan golongan belia. Matlamat dasar tersebut ialah untuk mewujudkan belia Malaysia yang memiliki peribadi yang bersepadu dari segi rohaniah, akidah dan jasmaniah, bertanggungjawab, berdikari, bersemangat sukarela dan patriotik serta menjadi penggerak kepada kemajuan dan kemakmuran bangsa, agama dan negara selaras dengan Wawasan 2020.
            Dasar ini adalah pemangkin kepada Dasar Wawasan Negara dimana matlamat penggubalannya difokuskan khusus kepada golongan belia agar mereka tidak ketinggalan dalam menyumbangkan tenaga untuk mencapai status Malaysia negara maju pada tahun 2020.
            Selaras dengan kehendak Dasar Pembangunan Belia Negara dan Dasar Wawasan 2020, Kerajaan Negeri Sabah telah memperkenalkan Skim Keusahawanan Belia Sabah (Youth Entreprenuership Scheme Sabah atau YESS) iaitu Dana Ehsan Kerajaan Negeri Sabah yang diperuntukkan untuk golongan belia Sabah yang berumur 21 - 35 tahun. Dana ini bertujuan untuk membantu golongan  belia yang ingin memulakan perniagaan atau penambahbaikan perniagaan yang sedia ada. Bagi individu akan diberikan Dana Khas maksimum RM 2,000.00 dan Berkumpulan (2-5 orang) akan menerima menerima Dana Khas sehingga RM 5,000.00.
            Skim ini merupakan dasar kerajaan negeri yang berbentuk Program dan bolehlah diklasifikasikan di bawah dasar agihan semula iaitu pengagihan sumber dan peluang kepada golongan tertentu sahaja berdasarkan status belia itu sendiri.

3.           PROSES PEMBENTUKAN DASAR


Dasar awam merupakan tindakan kerajaan yang bertujuan dan bermatlamat (goal-oriented) dan bukannya tindakan kerajaan secara rawak atau nasib (chances). Oleh itu, dasar yang dicadangkan berbentuk hipotesis, iaitu tindakan-tindakan ini boleh diuji (can betested). Setiap dasar mengandungi siri tindakan atau patterns of action yang dilakukan sepanjang masa oleh kerajaan dan ini bermaksud bahawa dasar bukan setakat menerima pakai undang-undang tetapi meliputi keputusan yang dibuat ekoran daripadanya. Dasar awam melibatkan apa yang sebenarnya dilakukan oleh kerajaan dan bukannya apa yang dihasratkan atau apa yang dikatakan akan dilakukan.
Pembentukan sesuatu dasar datangnya daripada pihak-pihak tertentu. Ini bermaksud, ada pihak yang terlibat dan memainkan peranan utama ataupun pelengkap dalam pembuatan dasar awam. Pihak yang terlibat dalam pembuatan dasar ini digelar sebagai aktor dasar. Aktor dalam pembuatan dasar awam membawa maksud orang-orang yang memainkan peranan dalam membuat dasar tersebut. Oleh itu, aktor dasar merupakan individu atau kumpulan individu yang bertanggungjawab atau mempunyai kuasa atau hak dalam menggubal dan pelaksanaan sesuatu dasar.
Aktor dasar terbahagi kepada dua bahagian yang utama iaitu aktor rasmi dan aktor tidak rasmi dan setiap kumpulan bahagian mempunyai peranan tersendiri dan saling melangkapi antara satu dengan yang lain.


3.1      Peranan menteri, parti politik dan ahli politik serta ahli masyarakat 

Sebagai aktor rasmi, menteri yang bertanggugjawab untuk menjaga kebajikan golongan belia di Sabah telah memainkan peranan yang penting dalam memperkenalkan skim YESS ini. Selaku peneraju Kerajaan Negeri, mereka telah mengambil langkah proaktif untuk membantu golongan belia di negeri Sabah bagi meningkatkan ekonomi  serta berdikari. Program ini diwujudkan setelah melihat hasil daripada kajian Indeks Belia Sabah mendapati bahawa antara yang memerlukan perhatian ialah kesejahteraan sosial ialah kehidupan anak muda di mana antara penunjuknya ialah bidang keusahawanan masih amat rendah di negeri Sabah. Hal ini sudah semestinya merujuk kepada golongan belia.
Seperti yang kita sedia maklum bahawa dasar-dasar negeri telah digubal oleh parti politik yang memerintah, oleh itu UMNO telah menainkan peranan yang besar dalam pembentukan skim ini. Idea-idea yang diperjuangkan oleh ahli-ahli UMNO secara kolektif disambut baik oleh setiap ahli bermula dari peringkat kajian hinggalah keperingkat menteri membuat kenyataan berhubung skim ini dan seterusnya dilaksanakan.
Selain itu, ahli-ahli politik juga memainkan peranan secara khusus kerana sebagai wakil rakyat yang telah dipilih melalui proses pilihan raya, mereka telah meninjau dan mendengar suara rakyat di kawasan yang diwakili mereka. Maklumat yang mereka terima sama ada secara formal melalui forum-forum atau majlis-majlis rasmi dan tidak formal seperti maklumat yang diperolehi secara tidak sengaja semasa bersosial atau dalam pergaulan harian, akan dibawa untuk dibincangkan dalam Dewan Undangan Negeri dan sekiranya dipersetujui, pandangan-pandangan mereka akan dijadikan usul untuk dikupas dengan lebih lanjut.
Perlu difahamai bahawa individu-individu yang dapat memberikan maklumat dan mengemukakan tuntutan-tuntutan terutama dari kalangan cerdik pandai adalah tergolong dalam aktor tidak rasmi kerana dalam konteks negara demokrasi seperti Malaysia setiap individu yang mempunyai hak untuk mengundi boleh mempengaruhi penggubalan sesuatu dasar.

3.2      Sumber maklumat dasar 

Dalam pembentukan sesuatu dasar, Kerajaan Negeri telah menggunakan beberapa kaedah atau pendekatan yang sangat berkesan dan bukan berdasarkan andaian semata-mata. Sesuatu perkara memerlukan perhatian yang sewajarnya dan kajian perlulah dijalankan untuk melihat sejauh mana tahap kritikal sesuatu perkara agar dasar yang digubal dapat menyokong dan dapat mengatasi masalah yang dihadapi. Sumber maklumat yang membawa kepada pembentukan Skim Keusahawanan Belia Sabah ini adalah hasili kajian yang telah dilakukan oleh Institut Penyelidikan dan Pembangunan Belia Sabah (IPPBM). Institut ini berperanan untuk mengukur tahap kesejahteraan hidup belia di Sabah serta menyediakan input bagi penggubalan polisi atau dasar untuk pembangunan holistik golongan belia.
Sebagai institut yang bernaung di bawah Kementerian Belia Negeri Sabah, sudah pasti kementerian tersebut juga memberikan sumbangan yang cukup signifkant dari segi penyediaan fasilitasi dan tugas-tugas pentadbiran termasuk membekalkan tenaga kerja atau sebagai kordinator antara Kerajaan Negeri dan IPPBM agar maklumat yang yang diperolehi dapat dicerna oleh Kerajaan Negeri dengan lebih teliti.

3.3      Aspek pembentukan dasar dan teori yang terlibat


Ramai belia berkemahiran yang telah mengikuti kursus-kursus kemahiran seperti menjahit, membuat kek dan sebagainya gagal memanfaatkan kemahiran mereka dan menjadi salah satu bentuk pembaziran kepada ekonomi negeri. Selain sukar untuk mendapatkan kerja yang sesuai dengan kemahiran, mereka juga sukar untuk membuat pinjaman mikro daripada institusi-institusi kewangan kerana profile mereka yang tidak meyakinkan. Oleh itu, program ini juga bertujuan untuk memudahkan para belia mendapatkan pinjaman diperingkat awal penubuhan perniagaan.
Jika Dasar Pembangunan Belia Negara adalah terbitan daripada Dasar Wawasan Negara, maka Program YESS pula merupakan sub-terbitan daripada Dasar Pembangunan Belia Negara. Hal ini kerana, dasar yang digubal oleh Kerajaan Negeri haruslah selari dengan dangan dasar yang digubal oleh Kerajaan Persekutuan.
Saya berpendapat bahawa YESS ini merupakan satu dasar yang mengambil teori Neo-institusionalisme sebagai model dalam pembentukkannya kerana apa yang kita lihat di atas adalah selari dengan apa yang telah diutarakan oleh pengkaji-pengkaji dalam bidang pengkajian dasar awam. Mereka menyifatkan dasar awam mengikut teori Neo-institusionalisme merupakan subsistem dalam proses pembuatan dasar. Justeru, dasar telah diklasifikasikan kepada empat jenis iaitu pengagihan semula, pengagihan, peraturan dan kawalan.
Dalam aspek pengagihan semula, sumber diagihkan ke seluruh kelompok sasaran berdasarkan skala atau ukuran asas yang tertentu. Pengagihan sumber dan peluang yang ada dalam pembangunan negara dan diagihkan kepada golongan tertentu sahaja berdasarkan kepada status sosial, bangsa dan sebagainya. Program YESS yang terkandung dalam dasar pengagihan semula ini mungkin lebih bersifat ideologi dan emosional kerana kerajaan berhasrat untuk membantu golongan belia kurang berdaya saing dalam dunia keusahawanan disebabkan kekangan kewangan. Walau bagaimanapun, ia akan melibatkan percanggahan atau konflik kepentingan antara kelompok dalam masyarakat. Misalnya, konflik antara usahawan yang di luar skop YESS dan usahawan  belia yang menjadi sasaran kerajaan kerana kepentingan dan permintaan yang berbeza.
Dasar awam yang dibentuk oleh kerajaan umumnya terbahagi kepada empat bentuk iaitu dasar berbentuk undang-undang, rancangan, program dan projek. Seperti yang dinyatakan di awal perbincangan, Skim Keusahawanan Belia Sabah adalah merupakan dasar awam yang berbentuk program kerana lebih mengkhusus kepada dasar yang telah digubal oleh kerajaan dan matlamatnya lebih tertumpu kepada sasaran tertentu yang telah dijelaskan oleh dasar yang sedia ada.

4.   KESIMPULAN


            Melalui perbincangan di atas, ahli politik memainkan peranan yang sangat penting dalam pembuatan sesuatu dasar terutama yang berhubung dengan Skim Keusahawanan Belia Sabah. Hal ini kerana, dalam konteks Malaysia, seseorang menteri kebiasaannya adalah seorang ahli politik yang dipilih oleh rakyat menerusi parti politik yang diwakilinya. Mereka jugalah yang membawa suara-suara rakyat dan golongan yang memerlukan serta maklumat-maklumat hasil sesuatu kajian untuk diususlkan di Dewan Undagan Negeri. Selain itu, ahli-ahli politik yang menjadi menteri dan memegang jawatan terpenting dalam kementeriannnya, akan mengarakhan birokrat untuk melaksanakan dasar-dasar yang telah digubal.
            Dasar seperti ini tidak akan berjaya tanpa penyertaan kumpulan lain yang boleh memberikan input dan data yang segar serta tepat. Oleh itu, kerajaan telah melibatkan pihak-pihak lain bagi tujuan kajian dan penyelidikan agar pembuat dasar mendapat gambaran awal tentang matlamat dan hala tuju sesuatu dasar.
            Teori model Neo-institusionalis dan dasar yang berbentuk pengagihan semula dapat menjelaskan bahawa program yang dibincangkan di atas merupakan sub-sistem untuk

            mengagihkan sumber kepada usahawan belia melalui penggubalan skim  yang sesuai.
            Kejayaan sesuatu dasar itu terletak di tangan pihak yang perperanan secara langsung. Merekah hendaklah telus dalam manjayakan agenda dan dasar yang telah digubal. Selain itu, sambutan dari golongan sasaran terhadap sesuatu dasar juga perlulah berterusan dan memanfaatkan setiap peluang dengan sebaiknya jika tidak kerajaan hanya bertepuk sebelah tangan dan hasil yang diharapkan untuk membangunkan ekonomi para belia dan seterusnya ekonomi Negeri Sabah berakhir dengan kegagalan.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Macam mana post kali ini?

Apakah maksud takaful ?