Suara penyatuan. The Voice Of The Minority

Agak tertarik membaca artikel dari blogger India ini. Beliau cuba memahami prinsip perlaksanaan Hudud dan Syariah. 

"Tidak keterlaluan kalau dikatakan makanan Malaysia adalah yang paling terunik didunia. Bukan sahaja unik malah makanan di Malaysia juga melambangkan perpaduan dan intergriti Malaysia keseluruhannya. Jangan terkejut jika tidak keterlaluan saya yang biasa menulis mengenai suasana politik dan maksud sebenar ke Malaysiaan, kini bercerita mengenai makanan Malaysia. Namun saya berpendapat maksud sebenar saya tidak lari dari Malaysia sebenar dan perpaduan yang terbentuk melalui keunikan makanan. Kini keunikan ini telah melangkah setapak lagi dengan menu yang “cross over” atau “mix blend.” Kalau perlu diterjemahkan dalam bahasa pasar Malaysia, maksudnya ialah telah dirojakkan atau dicampur adukkan sehingga membawa kepada satu maksud dan cita rasa sebenar Malaysia.

Rata-rata Malaysia boleh dibahagikan kepada perbagai etnik bangsa dan tradisi. Diantara etnik yang menjadi pembahagian besar Malaysia ialah terdiri dari etnik Melayu, etnik Cina, etnik Tamil India dan juga etnik yang mewakili bumiputra Sabah dan Sarawak. Biasanya perbezaan etnik ini dapat diperbezakan dengan warna kulit, pakaian dan juga bahasa. Walaupun perbezaan etnik ini boleh dibezakan dengan anutan agama tetapi dalam jangka waktu ini perkara ini menjadi rumit kerana kepelbagaian agama ini tidak lagi selari dengan bangsa sesuatu kaum. Contohnya, ada diantara mereka yang asalnya dari etnik kaum tamil India yang menganut agama hindu tetapi kini mereka menganuti agama Kristian, Islam mahupun agama Buddha. Ada diantara dari etnik Cina yang beragama Buddha dan kini menganuti agama kristian, hindu dan Islam. Begitu juga dengan etnik yang berasal dari negeri Sabah yang menganuti berbagai agama atas kepercayaan masing masing.

Namun perkara ini jarang kita temui dalam etnik Melayu. Kerana di Malaysia orang melayu hanya dibenarkan untuk menganuti agama Islam sahaja. Dan mereka yang menganuti agama Islam tidak mudah dapat menganuti agama lain kerana dipengaruhi dan dipelihara oleh hukum syariah dan akta perlembagaan. Kalau dilihat dari segi praktikalnya, perlaksanaan hukum syariah adalah sesuatu yang patut dan sepatutnya. Ini kerana apabila seseorang mendapati dia tidak selari atau tidak serasi dengan agama yang dianutinya, maka wujud satu kekeliruan yang boleh menyebabkan seseorang itu sesat dan akan melakukan perkara perkara yang dilarangi agama dan akan laknat terhadap agamanya. Maka disitulah hukum syariah ini akan terlaksana dengan mengembalikan umatnya supaya balik kejalan asal.

Perbetulkan jika pemahaman saya tidak seperti yang sebenarnya. Namun saya rasa perlaksanaan hukum syariah ini adalah sesuatu yang perlu dicontohi oleh agama lain untuk menjalankan perlaksanaan agama yang sepatutnya dan mengembalikan mereka yang melanggari syariah agama dan menunjukkan jalan yang soleh kepada mereka yang sesat.

Berbalik kepada cerita asal kita, iaitu keunikan makanan Malaysia. Pengaruh keunikan budaya inilah menyebabkan keunikan makanan Malaysia terbentuk. Apakah yang dimaksudkan dengan keunikan yang saya ulangi setiap kali kita berbincang mengenai makanan?

Keunikan ini hanya dapat dilihat apabila kita melihat dan mengkaji makanan di Malaysia dengan lebih mendalam. Contohnya, Mee Kari (Mee Curry) yang dipopularitikan oleh golongan peniaga Cina. Mee yang asalnya dari orang Cina tetapi kari yang diadun asalnya dari orang India. Jadi kombinasi ini telah menjadikan mee kari sebagai makanan yang sangat popular dan mempunyai cita rasa yang tersendiri. Dan kini mee kari ini telah dipraktikkan orang orang Melayu dan India keseluruhannya.

Kuew Teow adalah makanan dibawa oleh orang Cina, namun apabila diadun dengan citarasa kemalaysiaan ia menjadi hidangan pelbagai rasa. Contohnya, Kuew Teow goreng yang digoreng dengan dengan cita rasa rempah serta kari. Kalau di Pulau Pinang, makanan ini memang tidak asing lagi dan tidak lengkap ke Pulau Pinang kalau tidak merasai makanan ini yang juga begitu popular di Taiping.

Banyak lagi makanan yang boleh diperkatakan disini selain dari diatas, seperti roti canai dan teh tarik. Untuk pengetahuan pembaca sekalian, roti canai sebenarnya berasal dari India namun makanan ini telah melalui pelbagai kelainan dari segi pengadunan dan telah menjadi makanan pagi yang sangat popular di Malaysia. Teh tarik yang juga diperkenalkan oleh masyarakat kaum India ini juga tidak perlu saya huraikan. Tiada hari tanpa teh tarik. Diantara makanan dan minuman yang saya rindui apabila berada diluar negara adalah teh tarik, roti canai dan nasi lemak. Inilah yang membuat kita terasa betapa uniknya Malaysia. Kini tosai, capati juga telah mendapat tempat dihati masyarakat Malaysia sebagai makanan pagi dan fast food direstorant mamak.

Tiada siapa yang tidak kenal ROJAK, satu makanan yang popular dari masyarakat India namun hanya popular di Malaysia. Kalau di India misalnya, rojak mempunyai citarasa yang berbeza. Namun apabila kita lihat dari konteks Malaysia, dengan pengadunan kuah kacang yang mempunyai sentuhan masyarakat melayu amat menyelerakan. Kalau bercerita mengenai ROJAK, pasti cendol adalah pasangannya yang aidil. Minuman ini mempunyai sentuhan masyarakat India dan Melayu yang amat unik dan sungguh memuaskan.

Salah satu kuih raya yang menambat hati saya dirumah terbuka hari raya tahun ini ialah kuih loyang yang asalnya dari kuih tradisional orang India. Terkejut saya apabila didapati kuih pembuatan orang melayu kuih ini amat sempurna dan rasanya lebih sedap dari buatan isteri saya. Tetapi saya amat terkejut apabila tuan yang membuatnya mengaku ini adalah kuih tradisi orang melayu. Walau apa pun saya merasa amat bangga kerana begitu mendalam sentiment Malaysia dihati kita.

Selain dari masakan dan kuih, air minuman kacang soya juga tidak kurang popularnya. Kalau asalnya minuman yang begitu popular dari negara Cina diniaga oleh orang orang Cina, namun kini minuman ini menjadi begitu popular dikalangan masyarakat Melayu. Tiada pasar malam tanpa minuman ini. Lan Chi Kang juga tiada kurang hebatnya. Minuman yang mempunyai khasiat kegemaran saya ini pasti tidak terlepas kalau berkunjung ke pasar malam hujung minggu.

Inilah Malaysia, satu adunan yang pelbagai. Satu campuran yang rasanya unik. Seperti air batu campur yang dicampur sirap, gula hitam, susu, dan campuran manisan dan kacang yang membawa citarasa Malaysia. Inilah Malaysia yang mempunyai kelainan yang amat jarang ditemui. Alangkah sempurnanya jika usaha ini diteruskan dan sama sama kita membina Malaysia yang sebenar benarnya Malaysia tanpa mengaku negara ini kepunyaan satu bangsa sahaja. Biarlah kita usahakan supaya sama sama kita menjadi warganegara tanpa mengaku saya tuan dan kamu kuli. Saya peribumi dan kamu pendatang. Biarlah kita menjadi anak Malaysia yang ada keunikan, kerana keunikan inilah yang menjadikan Malaysia yang sebenar benarnya Malaysia"

Sekian,
lvbala.

Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

Sup Ikan Tomato

E-Dagang - Pengenalan dan Peranan.

Resepi Sambal Tuhau Jeruk