Kaifiat membayar fidyah


Maksudnya : " (Puasa yang diwajibkan itu ialah) beberapa hari yang tertentu; maka sesiapa di antara kamu yang sakit, atau dalam musafir, (bolehlah ia berbuka), kemudian wajiblah ia berpuasa sebanyak (hari yang dibuka) itu pada hari-hari yang lain; dan wajib atas orang-orang yang tidak terdaya berpuasa (kerana tua dan sebagainya) membayar fidyah iaitu memberi makan orang miskin. Maka sesiapa yang dengan sukarela memberikan (bayaran fidyah) lebih dari yang ditentukan itu, maka itu adalah suatu kebaikan baginya; dan (walaupun demikian) berpuasa itu lebih baik bagi kamu (daripada memberi fidyah), kalau kamu mengetahui. "
(Surah Al-Baqarah : ayat 184)
Fidyah
Fidyah ialah denda ke atas seseorang Islam yang telah baligh kerana meninggalkan puasa wajib atas sebab-sebab tertentu atau pun sengaja melewatkan puasa ganti (qada') bulan Ramadhan.
Sebagai contoh, di Wilayah Persekutuan, hasil bayaran fidyah akan dimasukkan ke dalam akaun Amanah Fidyah dan Kaffarah Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan sebelum urusan pengagihan kepada fakir miskin dalam bentuk beras dan bekalan makanan dilaksanakan.
Hukum Fidyah
Hukum membayar fidyah adalah wajib. Ia wajib disempurnakan mengikut bilangan hari yang ditinggalkan. Ia juga menjadi satu tanggungan (hutang) kepada Allah SWT sekiranya tidak dilaksanakan.
Prosedur Membayar Fidyah
Perkiraan dan pembayaran fidyah boleh dibuat di Baitulmal atau Pusat Zakat Negeri masing-masing samada dalam bentuk beras, secara tunai dan sebagainya.
Kadar bayaran fidyah berubah mengikut harga yang ditetapkan oleh pemerintah di sesuatu tempat. Pengiraan kadar fidyah berdasarkan kadar harga beras (makanan asasi penduduk). Beras fidyah tersebut hendaklah diagihkan kepada fakir atau miskin.
Sebab-sebab Dikenakan Fidyah
  1. Uzur menunaikan puasa wajib
    Terdiri daripada golongan yang menghidapi sakit kuat dan tidak mempunyai harapan untuk sembuh, atau golongan tua yang tidak mampu berpuasa atau kedua-duanya sekali.
  2. Perempuan hamil
    Dengan syarat dibimbangi akan keselamatan ke atas bayi yang dikandungnya seperti dikhuatiri berlaku keguguran. Golongan ini dikenakan membayar fidyah dan juga menggantikan (qada') puasa yang ditinggalkan.
  3. Ibu yang menyusukan Anak
    Dengan syarat ibu yang merasa bimbang akan memudharatkan bayi yang disusuinya seperti kurang air susu atau menjejaskan kesihatan bayinya itu. Maka baginya menggantikan puasa yang ditinggalkan serta membayar fidyah.
  4. Orang yang telah meninggal dunia
    Hutang puasa bagi mereka yang telah meninggal dunia hendaklah disempurnakan bayaran fidyahnya oleh waris-warisnya mengikut bilangan hari yang ditinggalkan sebelum pembahagian pusaka dibuat.
  5. Melambatkan Ganti Puasa (Qada')
    Mereka yang melambatkan ganti puasanya hingga telah melangkah tahun yang berikutnya (bulan Ramadhan), dikenakan denda membayar fidyah dan juga wajib menggantikan (qada') puasa yang ditinggalkan. Bayaran fidyah akan berganda mengikut jumlah tahun yang ditinggalkan.
Taksiran Fidyah
(Hari yang ditinggalkan) X (Tahun gandaan) X (1 Cupak) = FIDYAH
Kadar Bayaran Fidyah
Kadar bayaran fidyah bagi satu hari puasa yang ditinggalkan ialah satu cupak beras yang boleh dibuat zakat fitrah (1/4 gantang Baghdad).
Dalam bentuk nilaian, berdasarkan kepada kadar yang ditetapkan oleh Majlis Agama Islam negeri. Contohnya di Wilayah Persekutuan, secupak beras bersamaan dengan 567.5 gram dinilai dengan kadar RM1.75.
Contoh:
Jika seseorang meninggalkan puasa selama 3 hari dan tidak menggantikan puasanya sehingga 3 kali bulan Ramadhan, maka kadar fidyahnya ialah:
RM1.75 (1 cupak) X 3 hari X 3 tahun = RM15.75

Semoga bermanfaat.
Wallahu a`lam (Allah Lebih Mengetahui).

Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

E-Dagang - Pengenalan dan Peranan.

Sup Ikan Tomato

Resepi Sambal Tuhau Jeruk